Friday, 13 April 2012

Vita

Vita
Petang itu terang. Sam mahu mengisi masa terluang. Jam menunjukkan 4.35 petang. Azan Asar baru berkumandang. Selepas saja dia sembahyang, Sam mahu bersia-siar di padang yang lapang. Dia mahu melihat orang main layang-layang. Sam ke padang bersama Badang dan juga tidak ketinggalan beg yang digalas di belakang. Badang nama untuk basikal Shimano kesayangan milik Sam. Di dalam beg galasnya berisi kotak pensil dan buku sketch.  Kemana-mana Sam pergi, dia tidak lupa membawa buku sketchnya itu. Itu barang kesayangannya selain Badang dan gitar Fender Dreadnougth. Sam dan hobinya memang sukar dipisahkan.
Sam keluar rumah dan mengayuh Badang menuju ke padang. Ketika separuh perjalanan ke padang, pandangannya menjadi kelabu. Sam dongak ke atas, awan putih bertukar warna menutup langit. Itu tandanya hari mahu hujan, kata Sam dalam hati. Sam merungut-rungut marahkan situasi. Ketika Sam sedang merungut-rungut marah itulah satu titik air hujan terkena pipinya. Diikuti titik kedua. Titik yang ketiga terkena rambutnya. Sam dongak ke langit untuk melihat awan. Titik yang kempat dan kelima terkena hidungnya diikuti dengan bertubi-tubi titik yang lain. Sam ambil keputusan untuk terus pulang ke rumah. Tak jadi mahu melukis gambar orang main layang-layang.
Terbongkok-bongkok Sam mengayuh Badang dengan kelajuan semaksima mungkin.  Beg sandang berisi pensil Pilot Shaker dan buku sketch di masukkan ke dalam bajunya. Takut basah pula hasil karyanya. Sam melintasi sebuah perhentian bas. Dalam hati Sam mahu berteduh di perhentian bas itu, tetapi memandangkan jarak rumahnya yang semakin hampir dia matikan saja niatnya itu.
Dalam samar-samar hujan, matanya terpandang kelibat seorang gadis di perhentian bas tersebut . Gadis itu bertudung dan berbaju kurung putih sedang tertunduk. Gadis itu seakan sedih kerana dia berseorangan di dalam hujan. Entah-entah hantu tak?  Bukan boleh percaya petang-petang dalam hujan begini, kata Sam yang paranoid. Tiba-tiba hantu tersebut mengangkat kepalanya dan memandang ke arah Sam. Muka hantu tersebut sempurna dan tidak hodoh. Dalam hati Sam sempat lagi memuji hantu. Otak Sam sempat lagi meragui sifat kemanusiaan hantu tersebut. Hantu memandang Sam dengan pandangan kosong. Hantu nak tumpang bonceng Badang ke? Atau dia patut lari lepas nampak hantu? Macam-macam pertanyaan dalam kepala Sam. Kemudian, Sam tersenyum sendiri tanda dia tersedar. Mana ada hantu minum air Vitagen! Sam teruskan mengayuh selaju yang boleh sampai ke rumah sebab hujan makin lebat.
 Sampai sahaja di rumah Sam terus capai tuala dan bergegas masuk ke bilik air. Pakaiannya yang basah dilucutkan laju-laju. Terketar-ketar jarinya yang telah kecut itu memulas paip air pancuran. Sam mandi air panas kerana air panas dapat menghangatkan tubuhnya yang kesejukan itu. Orang tua-tua kata, kalau terkena hujan cepat-cepat mandi. Kalau tak mandi, nanti boleh kena demam atau sakit kepala. Entah fakta atau hanya rekaan orang tua-tua zaman dulu. Sam cuma ikut kata orang tua-tua. Lebih-lebih lagi Sam baru lepas nampak hantu. Lagipun, manalah tahu hujan tadi tu hujan asid, kata hati Sam yang paranoid..
Air  dari pancuran  yang menyiram tubuh  Sam  menjadikan Sam berasa lebih tenang. Waktu mandilah dia dapat menenangkan fikiran dan mendapat ilham. Ilham sangat penting untuk pelajar jurusan seni macam dia. Ilham datang dari bermacam cara, kadang-kadang tengah baring pun dapat ilham, tengah duduk melepak pun dapat ilham dan tengah ek ek pun boleh dapat ilham.  Biasanya kalau ilham datang menjelma, cepat-cepat Sam tulis atau lukis di buku sketchnya. Tak mahu ilham itu terbiar atau hilang begitu sahaja.
            Sam mendongakkan kepalanya sambil matanya tertutup terkena air pancuran yang panas itu. Nyaman sekali apabila air dari pancuran hinggap ke mukanya.Tiba-tiba terlintas dibayangannya wajah polos hantu berbaju kurung dan bertudung putih sedang minum air Vitagen tadi. Sam tersenyum sendiri. Ini namanya ilham datang mencurah-curah bersama air pancuran yang mencurah-curah.
…………………………………………………………………………………………………
            “Wooooo awek mana pula yang kau lukis ni Sam? Cantik.” Puji Izham yang baru sampai di rumah. Di tangannya membawa sebungkus makanan untuk mereka makan malam nanti. Izham senior Sam dulu, merangkap rakan merangkap sahabat merangkap teman serumah kepada Sam. Izham bekerja  sebagai Pereka Grafik di syarikat penerbitan tak jauh dari rumah. Sabtu atau Ahad pula dia bekerja sebagai jurugambar sambilan. Biasanya untuk majlis kenduri kahwin. Rumah yang Sam duduk ini sebenarnya rumah Izham, Sam cuma menyewa bilik untuk mengurangkan beban Izham membayar pada bank tiap-tiap bulan.
            “ Apa yang cantik? Lukisan aku atau awek?’’ Sam membalas dengan soalan juga. Aroma nasi ayam yang masih panas masuk terus ke hidung dan membuatkan dia terus menelan air liur yang terkumpul di mulut. Perutnya dari tadi menjerit-jerit minta diisi sesuatu.  Almaklumlah, hujan-hujan begini memang perut yang penuh pun boleh  lapar. Bukannya dia tak boleh bancuh teh O dan makan biskut Marie dalam tin. Tapi,Sam malas sebab lukisan punya pasal. Maka terhasilah seni lukisan yang cukup indah bersama seni bunyi keroncong yang berlagu  dalam perutnya.
            “Dua dua. Tapi awek lagi cantik. Mana kau dapat? Sikit pun tak cerita pada aku.” Izham bergurau sambil tangannya menarik kerusi di meja makan tempat Sam melukis.
            “Entahlah Am, aku pun tak kenal dia. Turun dari kayangan kut.” Jawab Sam mengarut, kemudian  tersenyum memandang lukisannya.
            “Haish, turun dari kayangan mana ada minum Vitagen macam ni. Biar aku bagi nama pada lukisan kau ni. Emmm Puteri Kencana Vita Wati. Ambil sempena nama air Vitagen. Amboi bukan main sedap lagi nama dia.” Terkekeh-kekeh Izham ketawa dengan nama yang dia sendiri reka. Sam yang dari tadi membetulkan lukisannya, turut mengeleng-gelengkan kepala apabila terdengar nama yang direka oleh Izham tadi. Ada-ada sahaja Am ni.
Bersendirian lebih baik daripada mengambil teman duduk dengan orang jahat dan teman duduk orang baik lebih baik daripada bersendirian.
..............................................................................................................................................
Ipod mengalunkan lagu Apokalips milik suara  idolanya, M. Nasir namun, dia sudah tidak endah suara idolanya itu. Otaknya sedang ligat memikir tentang projek yang bakal dia dan rakan-rakan Diploma Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka anjurkan. Tinggal satu bulan setengah sebelum  tarikhnya tiba. Ini bukan projek main-main. Ini projek tahunan. Tahun ini mereka akan adakan pameran seni di luar kampus. Tempat masih belum ditetapkan tapi senarainya ada empat tempat yang dirasakan sesuai. Tujuan mereka nak adakan pameran di luar kampus adalah untuk membuka mata orang ramai tentang keindahan seni yang dihasilkan oleh pelajar sendiri. Sebagai pengarah program, dia patut risau. Publisiti baru  sepuluh peratus berjalan. Setakat ini rekaan untuk poster, bunting dan banner telah siap tapi kena tunggu dapat kelulusan tempat, barulah promosi boleh dijalankan dengan giat. Pihak penaja ada yang sudah beri respon, ada yang belum.  Sam risau.
Mesyuarat pertama yang diadakan dulu sepakat memilih perkataan “Vita” sebagai tema pameran seni tahun ini. Vita itu berasal dariapada perkataan Latin yang membawa maksud ‘kehidupan’.   Dia yang mencadangkan tema tersebut. Tak sangka pula ramai yang menyokong sekaligus menyenangkan kerja memilih tema. Mengapa dia memilih perkataan Latin itu, hanya dia seorang yang tahu. Terperangkap dalam kenangan hantu Vitagen lagi.
 Pameran seni yang bakal dijalankan kelak, semuanya menggunakan unsur kehidupan sebagai tema. Malah, pameran selama tiga hari itu bakal diserikan dengan persembahan teater dan filem pendek, persembahan puisi dan live band dari rakan-rakan Fakulti Seni Persembahan. Semuanya berunsur kehidupan. Bagaimana seseorang itu melahirkan maksud kehidupan mengikut perspektif diri masing-masing  itulah yang mahu dilihat. Ada orang memilih jalan bebas dan tidak mahu dikongkong dalam kehidupannya,  ada orang memilih untuk lebihkan gaya materialistik walaupun tidak mampu, ada orang kaya wang ringgit tetapi gemar makan di warung tepi jalan, ada orang yang rasakan dirinya lebih “hidup” jika dekat dengan alam, dan ada orang yang rasakan dirinya “hidup” jika sentiasa berada dengan orang yang disayang. Jadi, atas sebab itu Sam dan rakan-rakannya bersetuju tidak meletakkan banyak syarat kepada peserta-peserta kerana kehidupan itu  sendiri meluas maksudnya dan seni itu sejagat sifatnya.
Lagu Apokalips bertukar ke lagu  Animal oleh Neon Trees versi akustik.  Beberapa kali dia meraup mukanya dengan tapak tangan. Baru sekarang dia tersedar bahawa sudah dekat satu jam dia duduk melepak di studio. Ada dua tiga orang pelajar lain yang sibuk menyiapkan kerja seni mereka. Air fresh orange sudah lama dihabiskan, sekarang cuma tinggal ketulan ais yang sudah mencair di dasar gelas. Sam menyedut air dari ais yang telah mula mencair itu. Kemudian, Sam cungkil ais tadi menggunakan straw. Sam makan ais itu. Rangup. Sejuknya terasa sampai ke urat kepala. Sam terus rasa segar untuk memulakan projek itu walaupun hati sedikit gusar.
.....................................................................................................
 Seminggu Sam ulang-alik menunggang Badang ke padang dengan niat untuk terserempak dengan hantu. Apabila sampai di perhentian bas tempat hantu itu pernah duduk, Sam tercari-cari wajahnya. Tapi hampa. Hajatnya nak berikan lukisan Puteri Kencana Vita Wati  kepada pemilik wajah tak kesampaian. Akhirnya lukisan itu tersimpan kemas di dalam buku skecthnya. Sam capai Fender kesayangan dan jari-jarinya menari di atas tali-tali gitar itu. Sam cipta satu lagu memandangkan virus  jiwang telah mula menular dalam diri. Cepat-cepat dia tulis lagu yang telah dia cipta itu dibelakang lukisan Puteri Kencana Vita Wati.
Ku tunggu munculnya dirimu
Wahai puteri
Putih bersih nan indah
Bisa tenggelam segala madah

Dalam hujan kau berdiri
Runtuh jiwa dangkalku yang lemah
Menjelma kau bagai bidadari
Hilang dibalik senyuman resah

Oh puteri mustika hati
Jangan kau pergi
Tinggalkan hatiku ini

Sampai di situ sahaja liriknya. Sam ketandusan idea walaupun otak masih lagi fikir fasal dia. Serabut.
....................................................................................................
Setakat ini projek Vita berjalan dengan lancar. Sudah 70% siap. Bekerja dengan orang-orang yang sudah biasa buat majlis-majlis sebegini memang mudah. Cuma Sam yang rasa gelabah masa awal-awal dulu. Lukisan dan hasil seni kraf yang hendak dipamerkan juga telah dipilih. Sebanyak tiga puluh dua buah lukisan akan dipamerkan kelak. Manakala, rakan-rakan daripada Fakuti Seni Persembahan telah bersetuju untuk mengadakan konsert mini pada hari pertama pameran sebagai strategi untuk menarik pengunjung.
Hari yang ditunggu kini tiba. Rasanya hampir tegang urat mulut Sam sebab asyik terseyum dari tadi. Dia tersenyum tanda puas hati dengan  projek pameran seni yang dia dan rakan-rakan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka sedang anjurkan. Baru sebentar tadi Sam berucap dalam majlis pelancarannya di dalam Galeri Annexe, Pasar Seni. Alhamdulillah, semua kru memberikan kerjasama yang cukup baik. Malah projek mereka mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Pengunjung-pengunjung dan pelancong mahu melihat hasil air tangan pelajar-pelajar seni. Selain pameran, ada juga gerai jualan yang menjual hasil seni mereka itu di luar galeri. Tidak sia-sia budak publisiti buat kerja. Malam nanti pula, akan ada konsert mini akustik dan bacaan puisi pula daripada rakan-rakan Fakulti Seni Persembahan.
Sam nak bawa Izham sekali  untuk tengok konsert mini yang diadakan malam nanti. Biar Izham jumpa dengan junior-junior seni reka dan berkongsi pendapat dengan pelajar-pelajar itu. Izham bersetuju untuk ikut Sam ke konsert mini. Lagipun, boleh juga Izham ambil gambar untuk dijadikan sebagai  semenjak dua menjak ni Sam macam dah lupakan Izham. Iyalah, sibuk dengan projek lagi, kuliah lagi dan mesyuarat pun sampai ke malam. Izham pula bukan reti keluar melepak dengan kawan-kawan lain. Duduk rumah menghadap televisyen menonton drama atau sukan. Orang sudah penat bekerja ni lain sikit tak sama dengan masa belajar. Masa belajar duit ada sikit nak guna beli itu beli ini. Orang sudah bekerja kena jimat sikit, sebab dah pegang tangungjawab sendiri. Bil air, bil elektrik, duit minyak, kereta dan rumah pun nak kena bayar.
.....................................................................................................
Suara M. Nasir berkumandang menyanyikan korus Tanya Sama Itu Hud-Hud dari telefon bimbit HTC miliknya. Ada panggilan dari Jo, budak Fakulti Seni Persembahan merangkap pengurus pentas untuk konsert mini malam nanti.
“Assalammualaikum Jo, ada apa hal ni?” tanya Sam, macam tahu ada masalah yang berlaku di luar galeri pameran.
“Wa’alaikumussalam, Sam. Aku ada masalah sikit ni. Ada seorang kawan aku ni nak baca puisi malam ni, tapi tiba-tiba partner dia yang patut main gitar mengiringi bacaan puisi dia tak boleh sertai konsert mini malam ni. Budak tu balik kampung tadi. Ada hal keluarga. Emergency.” terang Jo panjang lebar.
“Jadi?”
“Jadi, aku nak minta tolong kau, tolong kawan aku ni, tolong main gitar masa dia baca puisi malam ni. Boleh tak?” Jo cuba meraih pertolongan dari Sam.
“Kau gila? Aku budak seni reka bukan budak seni persembahan.” Sam membangkang.
“Ala, tolonglah kawan aku ni Sam. Lagipun, kau pro bab main gitar ni. Nak harapkan aku memang taklah.” Jo cuba memujuk.
“Budak tu takde plan B ke? Aku bukan apa, karang kalau aku main ke laut karang, malukan dia pulak. Budak-budak kau yang lain mana? Mustahil tiada seorang kot yang reti main gitar”
“ Haha. Budak-budak course aku ramai yang balik kampung minggu ni. Lagipun, aku tahu tahap ke laut kau tu gerenti sedap punya. Dia mesti suka. Kalau kau setuju, petang ni kau datanglah rehearsal. Cuba-cuba ikut rentak puisi dia mana yang patut.”
“Wohaa pengurus pentas bagi arahan pada pengarah projek pameran seni. Kau memang terbaik Jo. Ok, set petang ni aku datang. Tapi malam ni kau kena belanja aku makan kat mamak.”
“Tak payahlah makan kat mamak, malam ni kan banyak makanan percuma untuk pengunjung. Kan senang kerja aku, kalau kau mahu tolong. Pukul empat datang pentas, kita buat latihan sikit sebelum konsert malam ni.”
.....................................................................................................
Pukul 4.45 minit petang Sam tiba di tapak pentas konsert mini bawa gitar Fender sekali. Tadi, pukul tiga dia bergegas merempit balik ke rumah untuk ambil gitar dan pakaian yang hendak dipakai malam nanti. Sudahlah tergesa-gesa balik ke rumah, lepas tu pening nak pilih baju yang hendak dipakai. Kemudian, dia terus solat Asar alang-alang sudah masuk waktu. ini. Ingatkan sempat sampai semula di Pasar Seni lebih kurang pukul empat, tapi tak sempat. Rupanya, rumit juga kena jadi artis bidan terjun ni. Terpaksa berkejar sana-sini. Kalau tidak tentu Sam sekarang ini sedang melayan pengunjung di dalam galeri dan sebelah malam hanya tinggal menyaksikan konsert mini. Tak sangka pula dia yang bakal disaksikan oleh orang ramai nanti. Sam menghantar pesanan ringkas kepada Izham, mengingatkan tentang konsert mini malam ini. Izham tidak tahu yang Sam akan buat persembahan malam nanti.
            Mata Sam meliar mencari kelibat Jo. Oh, itu dia Jo, sedang bercakap dengan walkie talkie menghadap ke arah pentas. Sam pergi mendapatkan Jo.
“Amboi, sibuk bukan main Abang Jo” Sam mengusik.
“Ha, datang pun kau Sam. Aku baru teringat tadi nak suruh orang tanya kau kat mana. Mana tahu tiba-tiba lari. Aku baru nak suruh budak tu perfom sendirian malam ni.”
“Eh, aku dah datang ni. Lagipun ni kan termasuk dalam agenda projek aku. Takkan lah aku tergamak nak rosakkan projek aku sendiri. Ni ha, aku datang bawa sekali gitar azimat untuk tolong budak tu. Ha, mana budak tu, jomlah mulakan latihan.”
“Kejap, aku panggil. Tadi dia ada sini, berlatih sorang-sorang. Hah, tu dia” Sam melambai-lambai ke arah seorang gadis.
Gadis yang dimaksudkan berlari-lari anak mendapatkan mereka berdua. Di tangannya ada sebotol air Vitagen. Tak senonoh betul, sambil berlari pun nak minum, tapi tetap nampak comel dengan botol Vitagen itu. Air Vitagen itu mengingatkan dia pada Puteri Kencana Vita Wati yang telah sebulan setengah dicari selama ini. Terus difikiran Sam teringatkan peristiwa di perhentian bas dan lukisan yang telah dilukisnya. Gadis itu pandang pada mata Sam. Sah memang serupa.
“Hai, saya Sam” Sam perkenalkan diri dengan badannya ditundukkan sedikit. Jantung Sam telah gugur ke bumi. Cepat-cepat dia kutip balik.
“Hai saya Puteri Azwinawati, tapi panggil Put je. Jo cakap awak sudi gantikan kawan saya untu main gitar masa saya baca puisi nanti, betul ke?”
Sam tersengih tanda sedang kawal diri. Nampaknya lukisan yang tersimpan dalam buku sketchnya selama sebulan setengah sudah bertemu dengan pemilik wajah asal. Tak sabar rasanya nak berikan lukisan itu pada Put dan tak sabar juga nak kenal Put dengan lebih mendalam. Banyak benda yang ingin ditanya pada Put. Tidak mengapa, sabar ya hati, esok-esok kan masih ada.
Malam itu, Izham tercengang di hadapan pentas. Izham keliru macam mana Sam dan Puteri Kencana Vita Wati boleh berada di atas pentas bersama-sama? Sepatah haram Sam tak pernah beritahu yang mereka berdua sudah berkenalan. Izham tangkap gambar mereka berdua sedang buat persembahan banyak-banyak.                                

No comments:

Post a Comment